Sheikh Al-Jailani pernah berpesan
"Apabila kamu berjumpa dengan seseorang lihatlah kebaikan yang ada pada orang itu"
Betapa indahnya Islam mengajar umatnya supaya tidak memandang rendah pada sesiapa pun. Apatah lagi menghina dan mengkeji orang lain. Rasulullah S.A.W pernah berpesan agar seorang muslim itu hendaklah melindungi saudaranya, hartanya dan jiwanya. Jangan sesekali melukakan hatinya, jangan sesekali pandang rendah padanya dan hendakalah ia pelihara maruahnya.
Ketika melihat anak-anak kecil, boleh jadi, dosanya lebih kecil, ataupun tidak berdosa dengan itu memudahkannya mendapat syurga berbanding kita.
Apabila melihat orang miskin, walaupun hidupnya susah, tidak dipandang masyarakat, siapa tahu dalam pandangan Allah, dialah paling mulia kerana redha dan sabar dengan ujian Allah.
Ketika melihat orang yang baru belajar membaca al-quran, siapa tahu dia lebih takut pada Allah pada setiap huruf yang diucapkannya.
Ketika melihat orang yang sedang berniaga, walaupun kecil jualannya, siapa tahu dalam pandangan Allah, penjual itu lebih mulia kerana kejujurannya walaupun dagangannya tidak sebesar mana.
Melihat akan seorang guru, mungkin pengajarannya begitu ikhlas sehingga dari murid-muridnya terbit mereka yang akan menjadi benteng agama ini.
Melihat kepada orang yang sudah berkahwin, siapa tahu, ibadahnya lebih tenang dan lebih khusyu’ sehingga di pandangan Allah lebih mulia dari kita yang hati sentiasa tidak tenang dan banyak berfikir tidak sepatutnya.
Melihat orang yang membuat maksiat, mana tahu , suatu hari nanti, dia mendapat hidayah, taqwanya lebih tinggi dari kita dan matinya lebih mulia dari kita yang masih tidak tahu apa kesudahan kita.
Inilah sifat orang yang berjiwa hamba. Hatinya bersih. Tidak pernah merasakan diri lebih dari insan yang lain. Begitu juga tidak pernah merasakan insan lain kurang dari dirinya. Hatinya sentiasa tenang melihat kebaikan orang lain, sentiasa menghargai kebaikan orang lain dan sentiasa menghormati insan lain. Kesalahan orang dimaafkan segera..kesalahan diri dipohon maaf dengan segera jua. Kerana ia merasakan kerdilnya diri dihadapan Tuhan..bagaimana mampu untuknya mengangkat diri dihadapan insan yang lain.
Marilah kita sama-sama membersihkan hati kita dari sifat sombong dan suburkan sifat 'kehambaan' dalam diri kerana kita hanyalah hambaNya yang serba lemah, serba kurang..segala yang kita ada milikNya jua..hanya sebagai pinjaman..kerana itu siapa kita untuk memandang rendah pada insan yang lain??sama-samalah kita renungkan...
“Janganlah kamu berjalan di bumi dengan angkuh, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri” (Luqman : 18)
"Ya Allah jadikanlah jiwaku jiwa seorang hamba..yang tidak pernah lupa bahawa diriku adalah milikMu..suburkanlah sifat tawadhuk dalam hatiku ya Rabbi..Amin Ya Rahman.." -Wan-
No comments:
Post a Comment