“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dewasa kini, sering kita didedahkan dengan berita pembunuhan, khianat mengkhianati antara satu sama lain, seolah-olah dunia kini sudah ketandusan kasih sayang sesama manusia. Sedangkan Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa tidak akan sempurna iman kita andai kita tidak mampu mengasihi saudara kita dengan sepenuh hati.
Namun ingatlah, jangan sesekali kita mengharap balasan yang sama terhadap kebaikan dan kasih sayang yang diberi kerana apabila sesuatu pemberian atau kasih sayang yang dicurah diharapkan berbalas, dibimbangi tiada lagi keikhlasan pada hati si pemberi. Namun, berharap hanyalah balasan semata-mata daripada Allah atas segala pemberian dan kasih sayang yang diberi itu.
Marilah kita sama-sama contohi baginda Nabi Muhammad s.a.w, walaupun baginda dicaci, dihina, dan dilukai, namun baginda tetap tampil menyebarkan salam dengan penuh senyuman dan membalas keburukan itu dengan kebaikan. SubhanAllah tidak hairanlah bagaimana baginda Rasulullah s.a.w telah diiktiraf oleh Allah sebagai sebaik-baik insan.
Justeru itu, mari kita sama-sama usahakan, walau kasih tidak dihargai, kita terus memberi dan walau khidmat tidak dipeduli, kita terus mencurah bakti.
Yakinlah bahawa hakikatnya Allah ingin mendidik kita bahawa tiada cinta yang sempurna melainkan Cinta-Nya, yang hanya dapat dirasai oleh pemilik hati-hati yang berusaha mendekatkan diri pada yang Maha Esa.
Hati yang sering dilukai akan sembuh dengan zikir pada Ilahi sehingga menjadi hati yang sangat indah diterangi dengan cahaya dan kasih sayang Ilahi. Walaupun luka masih ada, namun sifat sabar, redha dan sedia memaafkan mampu menjadi penawar dan antiseptik yang menahan luka itu daripada dendam yang membawaa derita yang berpanjangan.
Akhir kalam, bersyukurlah andai memiliki hati yang sering dilukai, kerana dengannya kita belajar menjadi seorang yang lebih mengerti, memahami, pemaaf dan pandai menghargai.
Jika Allah menghadirkan seseorang yang menghadiahkan air mata, itu bererti Allah mendidik kita untuk SABAR..
Jika Allah mempertemukan kita dengan seseorang yang membuatkan kita tersenyum, saat itu Allah mengajarkan kita rasa SYUKUR..
Jika tanpa sebab seseorang hadir menghina kita, saat itu Allah mendidik kita untuk REDHA dan memperbaiki diri agar menjadi lebih baik..
Sabar, Redha dan Syukurlah atas apa yang hadir menyapa dalam kehidupan kita sekalipun kita tidak sukai. Boleh jadi itu cara terindah dari Allah untuk menempa peribadi kita agar kian mulia..
No comments:
Post a Comment