Saturday, February 21, 2015

Bicara Hati Anak Kecil

"Ummi..Aneesah tak demam. Aneesah sihat. Ummi janganlah bawak Aneesah gi hospital. Aneesah dah sihat..", begitulah keluhan dan rayuan Aneesah sebaik saja Ummi memberitahunya perlu ke hospital kerana suhu badannya mulai tinggi.

Sakeenah pula biasanya akan datang bertanya, "Ummi nak pergi hospital ke? Ummi balik tak nanti? Sakeenah tak nak Ummi dengan Aneesah tinggal kat hospital. Sakeenah sedih.." Hati ibu mana tak sebak andai anaknya meluah sedemikian. Sejak setahun yang lalu, beginilah situasinya setiap kali Aneesah demam dan perlu dibawa ke hospital. "Sakeenah kan kuat. Ummi pergi tak lama inshaAllah. Sakeenah strong girl kan. Sakeenah doakan moga Aneesah cepat sihat dan boleh balik ke rumah cepat ye", itulah pesanan yang sering Ummi berikan pada Sakeenah walaupun usianya hanya menjangkau 6 tahun, namun terpaksa bersikap matang dan beralah dengan situasi dan kondisi adiknya yang memerlukan penjagaan rapi daripada Ummi.

Nasib baik Sumayyah belum mengerti apa-apa seperti kakak-kakaknya. Sumayyah seolah-olah pasrah saja bila Ummi meninggalkannya selama beberapa hari. Namun kali ini, sejak Ummi menemani Aneesah tiga hari lalu, Sumayyah sering memanggil Ummi...Ummi..mencari-cari dimanakah Ummi tempat dia bermanja. Setiap malam, Abi kata Sumayyah akan memanggil-manggil Ummi. Mungkinkah anak kecil ini sudah mulai faham dan perasan ketiadaan Umminya disisi.

Malam tadi, Aneesaah menangis ingin pulang ke rumah. Katanya dia rindu pada Sumayyah, adiknya yang sangat rapat dengannya. Terasa betapa sukarnya untuk memujuk Aneesah agar terus bersabar menahan rindu selama beberapa hari lagi sehingga keadaannya pulih sepenuhnya.

Ya Allah kadangkala Ummi terasa berat menanggung perasaan hiba dan rindu ini. Namun pada-Mu saja ku merintih segala kehibaan hati dan kerinduan yang kadangkala tidak tertanggung. Ya Allah kami redha dengan segala ketentuan-Mu. Kami bersyukur dengan anugerah mehnah ini. Namun kami hamba-Mu yang lemah. Kadangkala kami terasa lemah dan goyah. Kuatkanlah hati kami dan suburkan sabar dalam hati kami agar kami beroleh pahala diatas ujian yang Engkau berikan ini. Ampunkanlah segala dosa-dosa kami dan pimpinlah hati kami untuk lebih dekat pada-Mu ya Rabb

Friday, February 20, 2015

Sekuat Hatiku Kan Menjagamu

Semasa Aneesah berada di wad, Abi sempat membikin sebuah video untuk tatapan Aneesah khasnya. Tujuannya, Abi mahu mengingatkan semula saat-saat manis kita semua. Apabila ditonton di saat-saat begini, ternyata jauh lebih mendalam kesannya dalam hati hingga mampu mencuit emosi sesiapa pun.

Hidup tidak akan lengang dengan ujian kerana ujian itu adalah peluang yang dikurniakan Allah untuk kita meraih kasih sayang-Nya. Ya Allah, limpahkanlah kasih sayang-Mu kepada kami semua tak kira masa mahupun keadaan.

Thursday, February 19, 2015

Segenggam Tabah

Hidup ini tidak pernah sunyi daripada ujian. Bahkan dunia sememangnya menjadi medan ujian buat orang-orang yang mengaku beriman pada yang maha Esa semata-semata untuk melihat siapakah antara kita yang paling baik amalnya.

Namun yakinlah Allah tidak pernah membebani hambaNya melalui ujian yang diberi. Setiap kesulitan itu pasti beriringan dengannya kesenangan dan bantuan daripadaNya.

Saya juga sedang melalui anugerah ujian daripada Allah. Anak kedua saya, Aneesah telah disahkan leukimia pada awal tahun lepas, 13 Januari 2014. Kisah sepenuhnya telah dicatatkan dalam blog "Itu Papan Tulis" (itupapantulis.blogspot.com)

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah, Aneesah telah lalui rawatan kimo yang berat selama setahun dan kini memasuki fasa kimo yang agak ringan sedikit. Hari ini Aneesah dimasukkan ke wad kerana demam panas. Mungkin sesetengah pembaca belum memahami kondisi pesakit leukimia dimana mereka memiliki ketahanan imuniti tubuh yang sangat lemah dan mudah untuk mendapat sebarang jangkitan kuman dan juga mudah untuk demam. Apabila demam saja, pesakit leukimia perlu duduk dalam wad untuk diberi rawatan antibiotik selama 5 hari paling kurang untuk mencegah sebarang jangkitan kuman.

Anak ketiga saya pula, Sumayyah dijangkiti chicken pox. Terpaksa saya dengan hati yang berat meninggalkan Sumayyah dan Sakeenah dengan Abinya sementara saya menjaga Aneesah di hospital. Sudah menjadi rutin sebegini kehidupan kami sekeluarga sejak setahun yang lalu, Aneesah kerap keluar masuk hospital. Alhamdulillah 'ala kulli hal..moga Allah beri kesembuhan buat Aneesah dan Sumayyah..Aameen ya Rabb..


Memiliki Hati Yang Bersih



“Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: Tidak beriman salah seorang diantara kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dewasa kini, sering kita didedahkan dengan berita pembunuhan, khianat mengkhianati antara satu sama lain, seolah-olah dunia kini sudah ketandusan kasih sayang sesama manusia. Sedangkan Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa tidak akan sempurna iman kita andai kita tidak mampu mengasihi saudara kita dengan sepenuh hati.

Namun ingatlah, jangan sesekali kita mengharap balasan yang sama terhadap kebaikan dan kasih sayang yang diberi kerana apabila sesuatu pemberian atau kasih sayang yang dicurah diharapkan berbalas, dibimbangi tiada lagi keikhlasan pada hati si pemberi. Namun, berharap hanyalah balasan semata-mata daripada Allah atas segala pemberian dan kasih sayang yang diberi itu.

Marilah kita sama-sama contohi baginda Nabi Muhammad s.a.w, walaupun baginda dicaci, dihina, dan dilukai, namun baginda tetap tampil menyebarkan salam dengan penuh senyuman dan membalas keburukan itu dengan kebaikan. SubhanAllah tidak hairanlah bagaimana baginda Rasulullah s.a.w telah diiktiraf oleh Allah sebagai sebaik-baik insan.

Justeru itu, mari kita sama-sama usahakan, walau kasih tidak dihargai, kita terus memberi dan walau khidmat tidak dipeduli, kita terus mencurah bakti.

Yakinlah bahawa hakikatnya Allah ingin mendidik kita bahawa tiada cinta yang sempurna melainkan Cinta-Nya, yang hanya dapat dirasai oleh pemilik hati-hati yang berusaha mendekatkan diri pada yang Maha Esa.

Hati yang sering dilukai akan sembuh dengan zikir pada Ilahi sehingga menjadi hati yang sangat indah diterangi dengan cahaya dan kasih sayang Ilahi. Walaupun luka masih ada, namun sifat sabar, redha dan sedia memaafkan mampu menjadi penawar dan antiseptik yang menahan luka itu daripada dendam yang membawaa derita yang berpanjangan.

Akhir kalam, bersyukurlah andai memiliki hati yang sering dilukai, kerana dengannya kita belajar menjadi seorang yang lebih mengerti, memahami, pemaaf dan pandai menghargai.

Jika Allah menghadirkan seseorang yang menghadiahkan air mata, itu bererti Allah mendidik kita untuk SABAR..
Jika Allah mempertemukan kita dengan seseorang yang membuatkan kita tersenyum, saat itu Allah mengajarkan kita rasa SYUKUR..
Jika tanpa sebab seseorang hadir menghina kita, saat itu Allah mendidik kita untuk REDHA dan memperbaiki diri agar menjadi lebih baik..
Sabar, Redha dan Syukurlah atas apa yang hadir menyapa dalam kehidupan kita sekalipun kita tidak sukai. Boleh jadi itu cara terindah dari Allah untuk menempa peribadi kita agar kian mulia..