Friday, April 6, 2012

Doa yang kita sering perlekehkan

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

SALAM ialah cara Allah mengajar kita menghormati sesama makhluk malah memerintahkan supaya tatacara ini dibudayakan. Justeru "SALAM", walaupun nampak mudah dan ringan, namun ia bersangkutan/ mengcakupi aspek 'aqidah, ibadah dan akhlak. la merangkumi ucap selamat, doa, tawaran persahabatan, pengenalan keagamaan, ikatan keagamaan dan sebagainya.

Jarang sekali kita mendengar ucapan salam keluar dari bibir kita sendiri mahupun orang lain ketika bertemu dijalanan. Perkataan yang kita sering dengari adalah 'Hai' ketika bertemu dan 'Bye' ketika berpisah. Seolah-olah lebih enak dan telah sebati dengan diri kita ucapan itu berbanding dengan ucapan salam yang mulia ini.

Apa yag lebih menyedihkan adalah apabila kita kadang-kala berasa kekok untuk memberi salam pada orang lain di jalanan kerana merasakan ucapan itu seolah-olah 'aneh' dan tak biasa diguna. Inilah tandanya akhir zaman apabila ucapan lain lebih dimuliakan daripada ucapan salam.

Hakikatnya kita lupa bahawa sebenarnya ucapan salam itu adalah doa memohon kesejahteraan dan keselamatan kepada seseorang itu. Ucapan salam itu adalah pengikat kasih hati orang-orang mukmin. Tambah pula dalam ucapan salam itu terkandung nama Allah 'As-Salam' yakni Yang Memberi Kesejahteraan. Bukankah Allah menyuruh kita untuk berdoa menggunakan nama-namaNya?

Kerana itu saya ingin menyeru pada diri sendiri dan para pembaca semua agar hidupkan kembali amalan memberi salam dan ucaplah ia dengan sempurna, penuh penghayatan memohon agar orang yang diberi salam itu benar-benar mendapat kesejahteraan dan rahmat serta keberkatan dalam hidupnya. Marilah kita tanya pada diri kita selama ini setiap ucapan salam yang kita beri adakah kita benar-benar menghayati maksud doa itu atau sekadar ucapan yang terlafaz dibibir dek kebiasaan menyebutnya yang menjadi lebih kepada adat daripada amalan.

Oleh itu, marilah kita perbaiki diri dengan mengamalkan amalan sunnah Rasulullah S.A.W ini iaitu memberi salam dengan sempurna dengan hati yang benar-benar mengharap pada Allah akan maksud doa salam itu. Kelak kita akan lihat sesuatu perubahan dalam diri dan orang sekeliling andai amalan ini dipelihara dengan sebenar-benarnya, kerana apabila setiap daripada kita saling mendoakan orang lain, Allah pasti akan campakkan rasa kasih sayang dan rahmat dalam diri kita dan masyarakat sekeliling.

Dalam sebuah hadis, Baginda Nabi Muhammad diriwayatkan bersabda dengan maksudnya “Demi zat yang diriku berada di bawah kekuasaan-Nya, tidak akan masuk syurga selagi kamu tidak beriman, tidak akan beriman selagi kamu tidak saling cinta-mencintai. Apakah kamu ingin ku khabarkan mengenai amalan yang apabila dilakukan pasti membuatkan kamu saling mencintai? Para sahabat menjawab ya wahai Rasulullah. Nabi pun bersabda “Sebarkanlah salam di kalangan kamu”. (Hadis riwayat Muslim)

Amalan yang amat mudah tapi kita sering perlekehkan..yang sebenarnya memberi impak yang besar dalam hati orang-orang mukmin andai benar-benar dihayatinya..sama-sama kita renungkan dan hidupkan kembali amalan yang merupakan juga sunnah Rasulullah S.A.W. Moga kita semua mendapat manfaatnya insyaAllah.


Be more sensitive about others

Seringkali kita menjadikan facebook, twitter atau sebagainya sebagai tempat untuk kita meluah perasaan, berkongsi suka duka, bercerita tentang nikmat yang diperoleh dan sebagainya. Namun pernahkah kita terfikir mengapa kita lakukan semua itu..hakikatnya hanyalah untuk mendapat perhatian manusia yang lain.

Dalam masa yang sama, tanpa kita sedari dalam kegembiraan kita berkongsi cerita tentang apa jua nikmat yang Allah beri pada kita, ada segelintir hati insan yang lain terguris dek melihat nikmat yang kita peroleh tetapi tidak diperolehi mereka. Jika dipandang dari satu sudut, mungkin kita akan berkata, mengapa mereka ingin terasa hati sedangkan bukannya niat kita untuk mengguris hati sesiapa pun. Ya benar namun jika kita perhalusi perasaan insan-insan yang tidak mendapat apa yang kita dapat, kita akan dapat menyelami dan memahami sebenarnya bagaimana perasaan mereka ini.

Saya yakin pasti akan ada yang tertanya kenapa saya menulis entry ini. Sejujurnya ada seorang sahabat datang pada saya, meluah perasaannya pada saya mengatakan bahawa dia tidak suka membaca entry orang ramai di facebook kerana semunya berbunyi seolah-olah ingin menunjuk-nunjuk apa yang mereka ada pada orang lain. Contoh yang dia beri adalah "Alhamdulillah dah dapat kunci rumah". Dia bertanya pada saya, apa sebenarnya tujuan orang tulis sedemikian kalau bukan untuk menunjuk pada orang lain. Kalau dia bersyukur, cukuplah dia bersyukur pada Allah kenapa nak dihebohkan 'publicly'?

Inilah persoalan yang ditanya pada saya. SubhanaAllah..sunnguh saya terdiam apabila diajukan soalan sedemikian. Lama saya diam. Saya akui ada benarnya kata-katanya itu. Saya teringat komen Prof. Muhaya baru-baru ini pada mereka yang mem'post'kan keputusan SPM yang cemerlang di facebook dengan meletakkan salinan keputusan SPM itu di facebook. Prof mengulas "Kenapa kita selalu ingin menunjuk-nunjuk pada manusia lain tentang kehebatan dan kejayaan kita..tanpa kita sedari kita sebenarnya dah merasa bangga dan ingin "show off".

Benar sekali kata-kata Prof itu. Tanpa kita sedari kita telah melakukan kesalahan yakni menunjuk-nunjuk pada orang lain yang sepatutnya kita lahirkan syukur kita pada Allah dan berasa lebih tawadhuk dengan nikmat yang diberi bukan untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain sehingga dapat melahirkan perasaan diri lebih hebat dari orang lain. Pernahkah kita terfikir bagaimana perasaan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan apabila melihat kawan-kawannya yang berjaya dengan bangganya mem'post'kan keputusan mereka di facebook?

Begitulah juga dengan hal-hal yang lain. Saya juga tersentak dengan soalan sahabat saya. Memang amat benar kata-katanya itu. Kita selalu lupa untuk memikirkan perasaan insan yang lain yang tidak mendapat nikmat sebagaimana kita dapat. Bagaiman perasaan mereka? Bukannya mereka ingin cemburu dengan nikmat kita tetapi kadangkala ianya mampu mengguris perasaan mereka yang lain kerana latar belakang setiap orang berbeza. Hidup kita mungkin jarang sekali diuji dan apa sahaja yang kita minta kita dapat. Namun ada juga insan yang seringkali diuji dengan hilangnya sesuatu nikmat itu atau masih menunggu sesuatu hajatnya untuk dikabulkan Allah. Sungguh perjalanan setiap seorang hamba itu berbeza-beza.

Kerana itu, saya terpanggil untuk menulis entry ini untuk mengingatkan diri saya dan pembaca yang lain agar lebih berhati-hati dalam kita menulis sesuatu di facebook atau di twitter kerana kita takut tanpa kita sedari ada hati-hati lain yang terguris dengan kata-kata itu..lebih-lebih lagi tanpa kita sedari telah lahir perasaan bangga dan ingin menunjuk-nunjuk dan merasa diri lebih hebat dari orang lain yang sebenarnya mengundang murka Allah..na'uzubillah..astaghfirullah

"Ya Allah jauhkanlah kami daripada perasaan riak dan ujub. Ya Allah jauhkanlah kami daripada sentiasa mencari perhatian manusia..gantikanlah dalam hati kami untuk sentiasa mencari perhatian dan redhaMu semata-mata..agar kelak Engkau redha terhadap kami sebagai hambaMu.."